Thursday 26 December 2013

BUAH PELAGA , CARDAMOM




    
 
 
  
(Sumber: Mr. Google)
 
 

Nama Tempatan: Buah Pelaga
Nama Saintifik: Elettaria Cardamomum/ Amomum Cardamomum
Nama Lain: Cardamom, green cardamom, true cardamom, kapulaga, chhoti elachi,
ts’ao-k ou, elam, grawahn, black cardamom dan kravan
Famili: Zingiberaceae


Buah pelaga antara rempah ratus paling tua di dunia. Buah pelaga juga dikenali dengan nama botaninya elettaria cardamomum. Ia merupakan tumbuhan semulajadi di timur dan berasal dari hutan barat Ghats di selatan India, di mana ia tumbuh secara meliar. Kini, buah pelaga turut ditemui di Sri Lanka, Guatemala, Indo China dan Tanzania. Ia sering digunakan sebagai perisa dalam masakan.
 
Masyarakat India menggunakan buah pelaga sebagai bahan untuk membuat manisan. Ia juga digunakan dalam masakan orang Melayu dan hampir di keseluruhan kepulauan nusantara. Buah pelaga boleh menambah aroma semasa menumis. Di Timur Tengah, buah pelaga digunakan dalam minuman teh.
 
Orang Mesir kuno dikatakan telah mengunyah biji buah pelaga sebagai pencuci gigi, manakala orang Greek dan Roman menggunakannya sebagai minyak wangi. Orang Viking pula dikatakan telah berjumpa dengan buah pelaga ini kira-kira seribu tahun lalu di Constantinople, kemudian telah memperkenalkannya ke Scandinavia, tempat di mana buah pelaga kekal popular sehingga kini.
 
Jika durian dikenali sebagai Raja Buah, buah pelaga juga tak kurang hebatnya. Digelar  sebagai ‘Permaisuri Rempah Ratus’ kerana ia adalah di antara rempah paling eksotik di dunia dan mahal harganya. Buah pelaga merupakan rempah yang kedua mahal selepas saffron. Terdapat pelbagai pengganti yang lebih rendah kualitinya daripada buah pelaga, seperti buah pelaga Siam, buah pelaga Nepal, buah pelaga Jawa (kumpulan amomum cardamomum) dan sebagainya. Walau bagaimanapun, hanya spesies Elettaria cardamomum yang dikatakan sebagai buah pelaga sebenar. Di India buah pelaga dikenali dengan 2 nama utama: Buah pelaga  Malabar dan buah pelaga Mysore.
 
Pokok buah pelaga merupakan herba tahunan dan tergolong dalam keluarga Zingiberaceae. Boleh dikatakan ia tergolong dalam keluarga halia dan lengkuas. Ðaunnya berbentuk lonjong dengan pangkal dan hujung agak runcing. Buah berbentuk kotak, terdapat dalam tandan kecil dan pendek. Ia bulat memanjang, berlekuk, bersegitiga, agak pipih, kadangkala berbulu, berwarna putih kekuningan atau kuning kelabu. Mempunyai tiga ruang dan setiap ruang dipisahkan oleh selaput senipis kertas. Setiap ruang berisi 5 hingga 7 biji-biji kecil, berbentuk bulat telur berwarna coklat atau hitam serta mempunyai aroma yang harum. Ðalam ruang-ruang ini, biji-bijinya tersusun dua baris memanjang dan melekat antara satu sama lain.

 
KHASIAT BUAH PELAGA

Biji buah pelaga mempunyai rasa yang pedas tetapi berbau wangi dan terasa dingin pada lidah apabila dikunyah. Rempah yang berbau sangat harum ini dikatakan mempunyai khasiat yang tinggi untuk digunakan sebagai ubat, selain untuk menambahkan keenakan masakan atau minuman.

Biji buah pelaga juga amat sesuai untuk mereka yang mengalami masalah mulut berbau kerana ia dikatakan dapat mengharumkan mulut. Selain itu, ia dapat mengatasi masalah kesukaran bernafas serta mengubati batuk dan gatal-gatal kerongkong. Caranya hanya dengan mengunyah biji pelaga perlahan-lahan.

Kegunaan lain ialah untuk menghilangkan masalah kesihatan kanak-kanak seperti batuk, kembung perut, mual, radang tekak dan perut memulas..

Biji pelaga juga boleh digunakan untuk menghalang perimbunan gas yang tidak baik dalam badan terutama sekali dalam usus.

UNTUK MENGATASI LENGUH-LENGUH BADAN

Buah pelaga yang telah ditumbuk halus, kemudian dicampurkan dengan air sangat elok untuk mengubati sakit lenguh-lenguh disamping untuk mengatasi masalah obesiti.

Buah pelaga mengandungi terpineol, kalsium, oksalat, silissium, sormeol, sabinen, zat putih telor. Selain itu ia mengandungi minyak pati yang membantu memudahkan pembuangan angin dalam perut, menghangatkan dan membersihkan darah.
 
Walaupun terdapat pelbagai kegunaan dan khasiat buah dan biji pelaga, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu untuk mengelak kemudaratan di kemudian hari.
 
(Sumber rujukan: Pelbagai)
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment